Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan
Elliot (1981)
Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.
Ebbut (1985)
Ebbut mendefinisikan kajian tindakan sebagai suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.
McNiff (1988)
McNiff mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.
Kember & Gow (1992)
Kember & Gow menyatakan kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka melalui lingkaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian, dan refleksi.
McBride & Schostak (1994)
Kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan kendiri.
No comments:
Post a Comment